PENGENALAN
Seni merupakan suatu unsur yang sangat berkait rapat dengan kehidupan
manusia. Seni merupakan hasil daripada gambaran yang terdapat dalam
pemikiran manusia dan dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti tulisan,
ukiran, lukisan dan sebagainya. Kesenian Islam merupakan hasil karya
ciptaan manusia yang berteraskan kepada cirri-ciri Islam. Dengan
mengkaji kesenian Islam tersebut, maka kita akan dapat memahami dan
menghayati kehalusan seni yang terdapat dalam sesebuah tamadun Islam.
Islam bukan sahaja membenarkan kesenian dengan berbagai-bagai caranya,
tetapi ia menggalakkan perkembangan kesenian tersebut. Namun demikian
kebenaran Islam haruslah menepati dan seiring dengan syariat Allah
S.W.T.. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:“Bahawa sesungguhnya Allah
S.W.T itu indah dan kasih kepada yang indah”.
Antara hasil kesenian Islam yang dapat kita lihat sebagai bukti
kehebatan sesebuah tamadun Islam itu sendiri adalah melalui seni bina
bangunan istana atau masjid dalam tamadun tersebut. Hal ini dapat
dibuktikan dengan terbinanya Taj Mahal, salah satu daripada keajaiban
dunia yang menjadi kebanggaan masyarakat India hasil daripada ilham
beberapa cendikiawan Islam Persia khususnya yang terhasil melalui
pengaruh Hindu-Persia. Selain daripada Taj Mahal, Alhambra merupakan
sebuah lagi bukti kehebatan seni bina Islam yang terdapat di Sepanyol.
Bekas kubu pertahanan Kerajaan Islam Granada ini mempunyai keluasan
kira-kira 14 hektar. Kehebatan para cendikiawan Islam yang membina kota
tersebut dapat diperhatikan di melalui ukiran-ukiran pintu dan dinding
yang melambangkan senibina istana Islam. Begitu juga dengan beberapa
binaan yang lain seperti Qutb Minar di India dan lain-lain lagi. Selain
kehebatan seni bina Islam itu, kita juga dapat melihat kemahiran para
pengukir yang turut sama menghasilkan karya seni ukiran yang agung.
Kehebatan seni ukiran ini secara tidak langsung turut sama membantu
menjulang kegemilangan sesebuah tamadun.
Terdapat satu lagi keistimewaan kesenian Islam iaitu dari segi
kaligrafinya. Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ´seni
khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat
Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia,
menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku
tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya. Penulisan Khat yang
pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke
tujuh. Akan tetapi, sistem penulisan khat ini terbukti telah bermula
sejak zaman Rasulullah S.A.W. sehingga zaman sahabat dan diikuti dengan
zaman-zaman pemerintahan Islam yang lain seperti zaman kerajaan
Umawiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Mughal, kerajaan Islam di
Andalus dan lain-lain zaman. Kesenian kaligrafi ini mempunyai
keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri.
Seni kaligrafi Islam seringkali dikaitkan dengan seni khat. Kaligrafi
secara umumnya mempunyai maksud seni penulisan yang indah. Apabila ianya
dikaitkan dengan Islam, membawa kepada seni penulisan Islam yang indah
iaitu tulisan khat. Perkataan kaligrafi ini bearasl dari bahasa Yunani
iaitu kalios yang bererti indah dan graphia yang bererti tulisan. Seni
ini diciptakan dan dikembangkan oleh kaum muslim sejak kedatangan Islam.
Sebagai bahasa yang memiliki karakter lembut dan artistik, huruf Arab
menjadi bahan yang sangat kaya untuk penulisan kaligrafi. Kaligrafi
Islam ini juga sangat berkaitan dengan Al-Quran dan hadis kerana
sebahagian besar tulisan indah dalam bahasa Arab menampilkan ayat
al-Quran atau hadis Nabi S.A.W. (Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar,Jilid
5.2001).
Seni khat ini merupakan salah satu bidang kesenian yang amat diminati
oleh orang Islam. Keindahannya diabadikan di bangunan-bangunan, kubah
masjid, seramik kaca selain diukir diatas kayu dan logam. Dari semasa ke
semasa sejak zaman Rasulullah S.A.W. hingga hari ini, seni khat terus
berkembang dan meningkat pencapaian dan kecemerlangannya. Seni khat ini
juga telah menghasilkan pelbagai seni reka bentuk khat. Selepas 100
tahun kewafatan Rasulullah S.A.W. seni ini telah berada dipuncak
kegemilangannya (Noraini Muhammad 2009).
Seni khat bukan sahaja berperanan mengabadikan Al-Quran dalam bentuk
tulisan akan tetapi juga turut mengabadikan sebahagian ayat dari
Al-Quran tersebut di bangunan-bangunan masjid, rumah dan sebagainya.
Ahli khat bukan sahaja terdi dari kalangan orang Arab bahkan pelbagai
keturunan Islam yang lain diseleruh dunia termasuk Parsi, Turki, India,
Melayu dan lain-lain lagi. Perkembangan seni khat diseluruh dunia pesat
sekali, seiring dengan perkembangan dakwah Islamiyyah dan ilmu Islam
(Zulina Hassan 2009).
Terdapat pelbagai jenis bentuk khat yang ditulis. Antaranya ialah khat
nasakh, thuluth, rihan, muhaqqaq, tauqi’, riq’ah, diwan, ta’liq,
nasta’liq dan lain-lain. Namun yang demikian, seni khat yang tertua
ialah khat kufi. Khat nasakh mula terkenal dan diminati mulai abad
kelima masihi. Ia sebenarnya merupakan khat kufi yang diubahsuai oleh
Qutabah. Khat ini diperkenalkan oleh al-Dhahaq bin Iljan. Khat kufi ini
berkembang dengan pesat pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah.
Muhammad bin Muqalan, merupakan salah seorang menteri di Abbasiyyah yang
mahir dalam penulisan khat jenis al-Duri. Diantara ahli khat yang
terkenal ialah Ibrahim al-Syujairi yang menghasilkan khat jenis
al-Jalil, al-Thuluthain dan al-Thuluth. Yusuf al-Syujairi pula merupakan
tokoh terkenal dalam bidang ini. Beliau menghasilkan khat jenis
al-Riayasi. Begitu juga dengan al-Hasan al Naqulah, Muhammad al-Samsari,
Muhammad bin Asad, Abu Hasan Ali bin Hilal (Ibnu al-Bawwab-terkenal
kerana telah menulis Al-Quran dengan pelbagai gaya dan bentuk tulisan.
Ada pendapat mengatakan sebanyak 64 buah Al-Quran pelbagai gaya tulisan
tetapi sebahagian besar karyanya hilang atau terbakar), Syeikh
Jamaluddin Taqut al-Mustakami dan ramai lagi tokoh penulis khat yang
terkemuka. Seni khat ini diambil alih oleh orang Mesir, India dan Turki
selepas kejatuhan Baghdad. Seni ini menjadi semakin terkenal sehingga
tertubuhnya beberapa institusi khat di pelbagai negara Islam (Zulina
Hassan 2009).
nok beli!!!
ReplyDelete